Showing posts with label Kisah Zaman Nabi. Show all posts
Showing posts with label Kisah Zaman Nabi. Show all posts

KESILAPAN HATHIB SEBAGAI PENGAJARAN.

RASULULLAH SAW telah mengarahkan tentera kaum Muslimin supaya berkumpul, kerana hendak pergi berperang. Mereka akan menyerang orang kafir Quraisy di Mekah. Lebih kurang 12,000 kaum Muslimin yang datang dari seluruh pelosok kabilah dan telah memeluk Islam datang ke Madinah.

Ada seorang lelaki yang bernama Hathib bin Abu Balta’ah telah melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang agama dan negara.

Hathib menulis surat kepada beberapa orang Musyrikin di Mekah. Dia memberitahu bahawa Rasulullah akan datang untuk menakluk Mekah dalam masa yang terdekat itu. Seorang perempuan diarahkan membawa surat itu ke Mekah. Perempuan itu keluar secara senyap-senyap dari Madinah.

Namun, tidak lama selepas perempuan itu meninggalkan Madinah, Rasulullah telah memanggil tiga orang kanan baginda. Mereka ialah Ali, Zubir dan al-Miqdad.

“Pergilah kamu ke kebun Khakh. Di sana ada seorang perempuan membawa surat. Ambil surat itu daripadanya dan bawa surat itu kepadaku,” kata Rasulullah.

Maka tiga orang sahabat itu pun menunggang kuda menuju ke tempat yang dinyatakan. Di situ mereka menemui seorang perempuan yang sedang menunggang seekor unta. Mereka segera menyekat perjalanan unta perempuan itu.

“Berikan surat itu kepadaku,” kata mereka kepada perempuan itu.

“Saya tidak membawa surat,” nafi perempuan itu pula.

“Rasulullah pasti tidak akan berbohong. Baik engkau serahkan surat itu cepat sebelum kami mengapa-apakan engkau,” kata mereka mengugut perempuan itu.

Perempuan tersebut ketakutan mendengar ancaman itu. Dia pun mengeluarkan sepucuk surat dari dalam sanggulnya lalu menyerahkan kepada mereka bertiga. Selepas itu, dia pun dibenarkan pergi.
Surat itupun dibawa kepada Rasulullah dan baginda memeriksa surat itu. Rupa-rupanya Hathib yang mengirimkan surat itu. Hathib dipanggil mengadap Rasulullah.

“Apakah ini, wahai Hathib?” soal Rasulullah sambil menunjukkan surat yang berada di tangannya.

“Janganlah menghukum saya terlalu cepat, wahai Rasulullah. Dengarlah apa penjelasan saya,” kata Hathib ketakutan.

“Saya ada kawan-kawan daripada golongan kafir Quraisy. Namun saya bukan daripada golongan mereka. Ada di antara golongan Muhajirin di Madinah mempunyai kaum kerabat di Mekah yang boleh menjaga harta benda dan keluarga mereka yang tidak ikut berhijrah.

“Tapi saya tidak mempunyai kaum kerabat seperti mereka. Saya ingin melakukan sesuatu kepada kawan-kawan supaya mereka akan menjaga keluarga saya yang lemah di Mekah. Saya berbuat demikian bukan sebab kufur atau murtad, tetapi kerana inginkan perlindungan kepada keluarga dan harta benda saya,” kata Hathib.

“Dia menyata yang sebenarnya,” kata Rasulullah. Allah telah berfirman: “Kerjakanlah apa yang kamu kehendaki, Aku telah memberi ampun kepada kamu”.

Oleh sebab Hathib turut serta dalam Perang Badar, maka Allah mengampunkan dosa lelaki itu. Hathib pun mengucap kesyukuran dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.


SUMBER ------ http://kisahkehidupan.webs.com/

UNTA MENJADI HAKIM

Pada zaman Rasulullah s.a.w., ada seorang Yahudi yang menuduh orang Muslim mencuri untanya. Maka dia datangkan empat orang saksi palsu dari golongan munafik. Rasulullah s.a.w. lalu memutuskan hukum unta itu milik orang Yahudi dan memotong tangan Muslim itu sehingga orang Muslim itu kebingungan.

Maka ia pun mengangkatkan kepalanya menengadah ke langit seraya berkata, "Tuhanku, Engkau Maha Mengetahui bahawa sesungguhnya aku tidak mencuri unta itu."
Selanjutnya orang Muslim itu berkata kepada Rasulullah s.a.w., "Wahai Rasulullah, sungguh keputusanmu itu adalah benar, akan tetapi mintalah keterangan dari unta ini."

Kemudian Rasulullah s.a.w. bertanya kepada unta itu, "Hai unta, milik siapakah engkau ini ?" Unta itu menjawab dengan kata-kata yang fasih dan terang, "Wahai Rasulullah, aku adalah milik orang Muslim ini dan sesungguhnya para saksi itu adalah dusta.

" Akhirnya Rasulullah s.a.w. berkata kepada orang Muslim itu, "Hai orang Muslim, beritahukan kepadaku, apakah yang engkau perbuat, sehingga Allah Taala menjadikan unta ini dapat bercakap perkara yang benar." Jawab orang Muslim itu, "Wahai Rasulullah, aku tidak tidur di waktu malam sehingga lebih dahulu aku membaca selawat ke atas engkau sepuluh kali."

Rasulullah s.a.w bersabda, "Engkau telah selamat dari hukum potong tanganmu di dunia dan selamat juga dari seksaan di akhirat nantinya dengan sebab berkatnya engkau membaca selawat untukku." 

Memang membaca selawat itu sangat digalakkan oleh agama sebab pahala-pahalanya sangat tinggi di sisi Allah s.w.t. Lagi pula boleh melindungi diri dari segala macam bencana yang menimpa, baik di dunia dan di akhirat nanti. Sebagaimana dalam kisah tadi, orang Muslim yang dituduh mencuri itu mendapat perlindungan daripada Allah s.w.t. melalui seekor unta yang menghakimkannya.


Sumber ------ http://tanbihul_ghafilin.tripod.com/
 
© Kisah Teladan Di Zaman Nabi All Rights Reserved