KISAH WANITA SEJATI BERNAMA ZINNIRAH
Mata Kasarnya Buta Tapi Mata Hatinya Celik.
Kesabaran seseorang muslim dalam mempertahankan aqidah Islam ketika
menghadapi suasana penindasan yang hebat merupakan contoh kesabaran yang
agung. Pegangan aqidah yang bertunjangkan tauhid kepada Allah menjadi
harta yang tiada ternilai bagi setiap muslim. Ia adalah cahaya yang
menyinari hidup insan dan penyelamat dalam mengharungi sengsara
kacau-bilau pada hari pembalasan. Perkembangan dakwah Rasulullah S.A.W
pada peringkat awal banyak dibantu oleh kesabaran kaum muslimin dan
muslimat dalam mempertahankan pegangan aqidah mereka. Sikap inilah yang
membuahkan hasil yang amat berharga dalam sejarah perkembangan Islam
hinggalah ke hari ini. Islam masih kekal dan terus mekar dalam jiwa
setiap umat Islam.
Kisah
seorang muslimat sejati bernama Zinnirah adalah antara contoh terunggul
pengorbanan seorang muslimah demi mempertahankan aqidah yang telah
meresap ke dalam lubuk hatinya. Beliau dipilih oleh Allah untuk menerima
ujian yang cukup getir. Beliau menerima hidayah Allah pada peringkat
awal dakwah Rasulullah S.A.W iaitu semasa baginda S.A.W berdakwah secara
sembunyi-sembunyi di kalangan rakan karib baginda. Dalam sejarah Islam,
golongan yang pertama memeluk Islam inilah yang banyak menerima ujian
daripada Allah S.W.T
Zinnirah adalah seorang wanita berketurunan bangsa Rom. Beliau telah
ditawan dan dijual di sebuah pasar di Mekah. Akhirnya beliau telah
dibeli oleh Umar Al-Khattab untuk dijadikan hamba. Dari segi fizikalnya,
Zinnirah kelihatan seorang yang lemah, tetapi dari segi spiritualnya
beliau mempunyai jiwa yang cukup kental dan tabah.
Rasulullah
S.A.W memulakan dakwahnya secara sembunyi-sembunyi di kalangan
orang-orang tertentu termasuk golongan bawahan. Antara yang menerima
cahya keimanan ini ialah Zinnirah. beliau telah menerima dengan sepenuh
hati. Pada peringkat awak keislamannya, Zinnirah melakukan
suruhan-suruhan islam secara sembunyi-sembunyi, takut diketahui tuannya,
Umar Al-Khattab. Beliau bersolat, berzikir, membaca Al-Quran, berdoa
kepada Allah dengan penuh syahdu dan keinsafan. Semuanya dilakukan
secara berhati-hati.
Penderitaan
ke atas Zinnirah ini bermula setelah tuannya Umar Al-Khattab mengetahui
keIslamannya. Umar telah dapat menghidu perubahan yang berlaku ke atas
diri hambanya itu. Setelah diselidiki, nyatalah bahawa hambanya
meninggalkan agama nenek moyang dan menerima ajaran tauhid yang dibawa
Nabi Muhammad S.A.W.
Umar Al-Khattab cukup terkenal dengan sikap memusuhi Rasulullah S.A.W
dan agama Islam sebelum keIslamannya. Beliau selalu mencerca Muhammad
S.A.W. Beliau mencabar sahabat-sahabat yang telah memeluk Islam dengan
sikap berani dan tegasnya itu. Beliau sanggup menanam anak perempuannya
hidup-hidup kerana malu dipandang masyarakat. Dengan sifat keberanian
inilah yang telah mendorong Rasulullah S.A.W berdoa agar salah seorang
daripada dua Umar di Mekah supaya memeluk Islam.
Zinnirah menjadi mangsa awal di atas sikap kebencian Umar Al-Khattab
terhadap Islam dan kaum muslimin. Apalagi, teruklah Umar menyeksa dan
mendera Zinnirah dengan harapan Zinnirah akan kembali kepada agama
asalnya dan meninggalkan Islam. Pelbagai seksaan dikenakan terhadap
Zinnirah. Pukulan, hentakan, sepak terajang, dijemur di tengah-tengah
panas terik adalah rutin kehidupan biasa Zinnirah. Semuanya dihadapi
dengan tenang dan sabar, di samping hati dan jiwanya bergantung penuh
kepada pertolongan Allah S.W.T.
Kemuncak penderaan terhadap Zinnirah ialah apabila matanya dicucuk
dengan besi panas. Beliau kehilangan kedua-dua matanya dan terpaksa
mengharungi hidup dengan penuh kegelapan. Matanya buta, tetapi hati dan
jiwanya penuh dengan cahaya keimanan. Iman menjadi penyuluh hidupnya
dalam kesengsaraan azab dari tuannya.
"Ini untukmu Ya Allah. Aku mengharungi kesengsaraan ini untuk mendapat
kesenangan di akhirat kelak. Perjuangan ini sememangnya berat, selalu
menderita dan sengsara kerana aku sedar untuk mendapat syurga. aku
terpaksa menagih ujian berat, sedangkan neraka itu dipagari oleh
pelbagai kesenangan." Inilah rintihan hati Zinnirah kepada Allah S.W.T
ketika bermunajat kepada Allah di setiap malam sebagai penawar jiwa di
atas segala kesusahan yang dia hadapi. Jiwanya semakin kukuh. Imannya
semakin teguh.
Pengorbanan Zinnirah mendapat cercaan kaum musyrikin Mekah. Pelbagai
cacian dilemparkan kepadanya. Mereka mengatakan Zinnirah buta kerana
dilaknat oleh tuhan Latta dan Uzza. Mereka mencabarnya kerana Zinnirah
mempertahankan diri dengan mengatakan dirinya buta bukan kerana tuhan
mereka, sebaliknya ia adalah perbuatan Umar dan Allah mengizinkan ianya
berlaku.
Walaupun diuji dengan pelbagai rupa, keyakinannya kepada Allah tidak
berubah. Allah memberi karamah kepadanya. Matanya yang buta itu dapat
melihat kembali dengan karamah Allah S.W.T. Dia dapat menikmati semula
keindahan ciptaan Allah S.W.T. dengan penuh kesyukuran kepada Allah dan
imannya semakin tinggi.
Dengan taufiq hidayah Allah, Umar akhirnya memeluk Islam jua.
Posted by
NurEmaan
Sumber ---- http://sesuci-jiwa.blogspot.com/
Ranking: 5