BERKAT KESABARAN HARIMAU TERPAKSA TUNDUK.

Telah diriwayatkan pada zaman dahulu tinggal dua orang adik beradik soleh yang tinggal berjauhan antara mereka. Oleh kerana mereka tinggal ber­jauhan, maka jarang mereka bertemu. Kadang-kadang mereka dapat berjumpa setahun sekali sahaja.


Pada suatu hari si adik ke rumah abangnya kerana ingin menziarahi abangnya. Kebetulan semasa itu didapatinya si abang tiada di rumah. Dia lantas bertanya kepada kakak iparnya ke mana gerangan si abang. Bukan main terperanjat si adik apabila kakak iparnya dengan marah-marah menjawab, “Dia pergi mencari kayu, semoga dia tidak lagi dikembalikan oleh Allah,” sambil itu mulutnya terus memaki-maki suaminya dengan kuatnya. Oleh kerana dia ingin sangat bertemu abangnya, dia bercadang untuk menunggu sehingga abangnya pulang.

Tidak berapa lama kemudian, pulanglah abangnya dari mencari kayu bersama seekor harimau yang membawakan kayu di atas belakangnya. Setelah abangnya menurunkan kayu dari atas belakang harimau, ia berkata kepada harimau tersebut, “Pergilah semoga Allah memberkati kamu.”

Setelah itu barulah dia mempersilakan adiknya masuk ke rumah. Sementara itu, isterinya masih tetap memaki-maki sambil marah-marah, namun dia tetap membisu. Tidak dijawab, walau sepatah perkataan pun. Dengan susah-payah dia me­layan adiknya yang datang dari jauh itu, menghidangkan makanan dan makan bersama-sama adiknya. Se­telah bertanya khabar dan berbual-bual, si adik pun ingin meminta izin untuk pulang. Dalam pada itu, adik­nya tidak henti-henti memikirkan kesabaran abangnya menghadapi isterinya yang banyak kerenah itu.

Pada tahun yang berikutnya, se­kali lagi si adik pergi ke rumah abangnya untuk menziarahi keluarga abangnya. Waktu itu juga abangnya tiada di rumah. Tetapi pada kali ini, kakak iparnya tidak lagi marah-marah dan memaki-hamun suaminya, sebaliknya dia disambut dan dipersilakan menunggu kepulangan suaminya. Sebentar kemudian, pulanglah abangnya sambil memikul kayu di atas bahunya sendiri. Kemudian ia pun mempersilakan adiknya masuk dan makan bersama-samanya. Tetapi kali ini abangnya tidak perlu bersusah-payah melayan adiknya sebaliknya makanan telah pun disediakan oleh isteri yang baik hati itu.

Melihatkan keadaan yang berbeza dari tahun sebelumnya, si adik pun lantas bertanya: “Wahai saudaraku, dahulu ada seekor harimau yang memikulkan kayu untukmu tetapi sekarang kayu, itu engkau pikul sendiri. Dan sewaktu aku sampai ke mari dahulu isterimu sudah berubah sekali. Apakah rahsia di sebalik kejadian ini semua?”

Tersenyum si abang mendengar pertanyaan adiknya itu. Lantas dia pun menjawab: “Wahai adikku, isteriku yang cerewet itu telah meninggal dunia, dan kerana aku bersabar atas kerenahnya itu maka Allah mendatangkan harimau untuk membantuku. Kemudian ketika aku telah diganti oleh Tuhan dengan isteri yang baik budi ini, sudah tidak ada lagi harimau itu dan aku terpaksa memikul kayu ini sendiri.”

Begitulah kisah dua orang adik beradik yang soleh, abangnya diuji dengan ragam isteri tetapi dengan berkat kesabarannya, binatang pun boleh tunduk padanya. Begitulah rahmat Allah yang Maha Pengasih ke atas hamba-Nya. Tetapi selepas kematian isterinya dan diganti dengan isteri yang taat, maka nikmat itu Allah tari semula. Nyatalah Maha Adilnya Allah, kepada setiap yang ditentukan-Nya. Sebenarnya setiap kejadian yang berlaku ke atas kita pasti ada hikmah yang besar di sebaliknya, cuma kita yang tidak sedar dan selalu lalai dengan nikmat yang dikurniakan Allah.

Se­tiap hari kita seringkali diuji dengan kesabaran. Adakah kita boleh ber­sabar bila berdepan dengan ragam anak-anak tatkala badan kita terlalu letih, bolehkah kita bersabar bila dimarahi, atau tahankah hati kita bila pulangnya suami ke rumah dalam keadaan yang marah-marah tanpa kita ketahui punca yang sebe­narnya. Dan kita akan menghadapi seribu satu macam masalah yang menggugat kesabaran kita dalam mengendalikan urusan seharian. Memanglah untuk menyebut per­kataan sabar itu adalah mudah, tetapi untuk mempraktikkannya amatlah payah.

Tetapi bagi orang yang ingin mencapai darjat yang tinggi di sisi Allah, walau terpaksa menderita, mereka sanggup melakukannya. Sebab, mereka tahu bala bencana yang menimpa mereka boleh menghapuskan dosa-dosa yang lalu di samping mereka yang mendapat pahala yang tinggi di sisi Allah. Rasulullah SAW juga pernah bersabda: “Barangsiapa yang dapat ber­sabar terhadap bala bencana yang menimpa, maka dicatat baginya tiga ratus darjat. Yang manajarak jauh antara dua darjat seperti jauh antara langit dan bumi.”

Bagi mereka yang teruji dengan ragam isteri atau suami pasti merasa suatu penderitaan yang amat sangat. Memanglah, semua orang menginginkan suasana rumahtangga yang amat bahagia, tetapi ada kalanya sengaja Allah jadikan suami atau isteri sebagai sebab untuk menguji kesabaran kita. Bagi mereka yang menghadapi masalah demikian ingatlah kembali kisah Siti Asiah berhadapan dengan suami yang mengaku dirinya sebagai Tuhan iaitu Firaun dan kisah Nabi Ayub menghadapi isteri-isteri yang minta diceraikan kerana tidak tahan dengan penyakit yang dihidapi oleh Nabi Ayub.

Mereka yang boleh bersabar de­ngan kerenah suami atau isteri akan Allah kurniakan pahala yang besar sepertimana sabda Rasulullah SAW: “Barangsiapa yang sabar ter­hadap akhlak yang jelek dari isteri­nya, maka Allah akan memberinya pahala sebagaimana yang diberikan pada Nabi Ayub as. Dan mana-mana isteri yang sabar di atas akhlak suami yang jelek maka akan diberi oleh Allah pahala sebagai­mana pahala Siti Asiah isteri Firaun.”

Siti Asiah telah dijamin syurga kerana dia sentiasa bermanis muka tatkala melayan suaminya, Firaun yang terlalu derhaka kepada Allah. Oleh kerana Siti Asiah beriman, Allah telah melindunginya sehingga walaupun bersuamikan Firaun, Firaun tidak berpeluang untuk tidur bersama Siti Asiah. Begitulah Allah hendak membuktikan kepada hamba-hamba-Nya yang beriman, kalau mereka benar-benar ikhlas dan bertaqwa kepada Allah, Allah sentiasa memberikan jalan yang mudah untuk mereka membuat amal ibadah.

SUMBER ---- http://www.kisahteladan.info/
Ranking: 5
 
© Kisah Teladan Di Zaman Nabi All Rights Reserved