Sayyidah Nafisah adalah seorang yang sangat kuat beribadah kepada Allah. Siang hari dia berpuasa sunat sedangkan pada malamnya dia bertahajjud menghidupkan malam dengan berzikir dan membaca Al Quran. Dia sungguh zuhud dengan kehidupannya. Hatinya langsung tidak terpaut dengan kehidupan dunia yang menipu daya. Jiwanya rindu dengan syurga Allah dan sangat takut dengan syurga Allah. Disamping itu Sayyidah Nafisah sangat taatkan suaminya. Beliau sangat mematuhi perintah suami dan melayan suaminya dengan sebaik-baiknya.
Terlalu banyak kisah mengenai kehebatan Sayyidah Nafisah, yang merupakan seorang wali wanita yang dapat menjadi contoh kepada wanita di akhir zaman ini. Diantaranya, semasa di Mesir, jirannya adalah seorang yahudi. Anak perempan mereka lumpuh. Suatu hari siibu hendak pergi ke satu tempat, sedangkan suaminya tiada di rumah. Lalu siibu mencadangkan agar anaknya itu tinggal sementara waktu di rumah Sayyidah Nafisah. Sianak bersetuju, lalu dihantar ke rumah Sayyidah Nafisah yang sememangnya sangat menghormati tetamu. Anak wanita yahudi itu diletakkan di satu sudut di rumah Sayyidah Nafisah, dan ketika itu azan pun berkumandang menandakan masuk waktu sembahyang.
Sayyidah Nafisah yang menunggu waktu solat meminta kebenaran tetamunya untuk segera bersolat. Sayyidah Nafisah lalu dihadapan anak wanita Yahudi yang lumpuh itu untuk mengambil wudhuknya. Setelah selesai, beliau lalu lagi dihadapan anak wanita yahudi tersebut dan air wudhu Sayyidah Nafisah jatuh dihadapannya. Lalu datanglah ilham kepada anak yahudi yang lumpuh itu untuk menyapu air wudhu Sayyidah Nafisah yang jatuh itu ke kakinya. Dengan izin Allah, kakinya yang lumpuh itu bergerak-gerak dan terasa boleh berjalan, sedangkan Sayyidah Nafisah tetap khusyuk mengerjakan solat.
Kemudian, terdengarlah pula ibunya telah balik dan mengetuk pintu, sedangkan di waktu itu Sayyidah Nafisah masih lagi mengerjakan solat. Anak perempuan Yahudi itu memberanikan diri dengan berdiri dan ternyata dia mampu berdiri setelah menyapukan air wudhu Sayyidah Nafisah yang jatuh di hadapannya. Dia membuka pintu dan memeluk ibunya. Ibunya sangat terkejut, dan bertanya apa yang telah terjadi, anak wanita Yahudi yang lumpuh itu menceritakan segala-galanya. Air wudhuk Sayyidah Nafisah yang jatuh dihadapannya itu telah menjadi penawar untuk menyembuhkan sakit lumpuh yang telah dialaminya sekian lama. Menangislah si ibu mendengarkan hal yang sangat ajaib itu. Lalu dia mendapatkan Sayyidah Nafisah, dan memeluknya seraya berkata: "Aku mengaku bahawa engkau adalah cucu Rasulullah dan datukmu itu adalah Rasul Allah dan Allah adalah Tuhan sekalian alam." Islamlah perempuan Yahudi tersebut. Melihatkan hal tersebut Sayyidah Nafisah memberitahu itu semua adalah kehendak dan izin Allah semata-mata.
Wanita Yahudi dan anaknya yang telah Islam itu kembali ke rumahnya dan bertemu pula dengan suaminya yang bernama Ayub. Dan dia sangat terkejut melihatkan anaknya telah boleh berjalan. Mendengarkan penjelasan dari isteri dan anaknya, Ayub menadah tangannya lalu berkata:
" Maha suci engkau ya Allah ! Engkau sesatkan orang yang engkau kehendaki dan engkau beri petunjuk kepada sesiapa yang engkau kehendaki. Demi Allah, benarlah agamamu ini."
Sejak itu Ayub dan keluarganya Islam, maka kemudian ramailah orang-orang Yahudi yang menjadi kenalan Ayub pula Islam, setelah mendengar kisah Ayub dan keluarganya.
Demikianlah salah satu dari kisah yang sangat menyentuh perasaan bagaimana dengan air wudhunya sahaja Sayyidah nafisah telah mengislamkan berapa ramai orang. Hal yang demikian adalah dengan kehendak Allah jua. Sayyidah Nafisah adalah seorang yang terkenal zuhud dan mengasihi manusia yang lain. Pernah satu ketika, beliau menerima wang sebanyak 1000 dirham dari raja untuk keperluan dirinya. Beliau telah membahagikan wang tersebut kepada fakir miskin sebelum sempat memasuki rumahnya. Wang hadiah dari raja itu sedikit pun tidak diambilnya untuk kepentingan dirinya. Semuanya disedekahkan kepada fakir dan miskin. Demikianlah dermawannya sayyidah Nafisah terhadap fakir miskin.
Sayyidah Nafisah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada tahun 208 hijrah sewaktu sedang membaca Al Quran dan sedang berpuasa. Beliau telah dikuburkan di dalam kubur yang telah dibinanya sendiri di dalam rumahnya. Kubur yang dibinanya itu adalah untuk beliau sentiasa mengingatkan akan kematian. Sewaktu disembahyangkan sangat ramai orang yang menghadirinya. Sehingga kini maqamnya diziarahi oleh pengunjung dari seluruh pelusuk dunia. Demikian kehebatan yang Alah anugerahkan kepada Sayyidah Nafisah Al Hassan yang terkenal dengan kewarakan kepada Allah dan ketaatannya kepada suami. Semoga ianya menjadi contoh buat genarasi wanita akhir zaman ini.
SUMBER --- http://mukmin.com.my/