TANGISAN SEORANG KHALIFAH KETIKA SAKARATUL MAUT.

Tersebutlah sebuah kisah seorang raja bernama Harun Ar-Rasyid yang begitu berkuasa dan banyak harta.

Suatu hari beliau telah pergi berburu dan semasa perjalananya beliau telah bertemu dengan seseorang yang bernama Bahlul.

Maka Harun pun berkata kepada lelaki tersebut,"Berilah aku nasihat, wahai Bahlul." Lalu lelaki itu menjawab, "Wahai Amirul Mukminin, di manakah bapa dan abangmu sejak dari Rasulullah hingga bapamu?"

Harun menjawab, "Semuanya telah mati."

"Dimanakah istana mereka?" Tanya Bahlul."Itu istana mereka," jawab Harun. "Di mana kubur mereka?" "Ini, disini kubur mereka," jawab Harun. Bahlul kemudian berkata "Di situ istana mereka, disini kubur mereka. Bukankah sekarang istana itu sedikit pun tidak memberi manfaat bagi mereka?"

"Kamu benar. Tambahlah nasihatmu, Bahlul," kata Harun. "Wahai Amirul Mukminin, engkau diberi kuasa atas perbendaharaan Kisra dan umur yang panjang. Apa yang dapat kau lakukan? Bukankah kubur adalah perhentian terakhir bagi setiap yang hidup, kemudian engkau akan dihadapkan tentang berbagai masalah?" "Tentu," kata Harun.

Tidak lama kemudian Harun jatuh sakit selepas pulang dari berburu. Kematian menjemput beliau setelah beberapa hari menderita. Dalam detik-detik terakhir kematiannya, dia sempat memanggil pegawainya dan berkata, "Kumpulkan semua bala tenteraku."

Tidak lama kemudian datanglah tentera-tentera mengadap Harun dengan kelengkapan tentera seperti pedang dan perisai. Tentera yang mengadap Harun begitu besar jumlahnya. Semua tentera tersebut adalah di bawah kuasa Harun.

Harun menangis setelah melihat tentera-tentera di hadapannya dan berkata, "Wahai Zat yang tidak pernah kehilangan kuasa, kasihanilah hambaMu yang telah kehilangan kuasa ini."

Harun menangis tidak berhenti sehingga ajal datang menjemputnya. Setelah meninggal, Harun yang memiliki kekuasaan yang sangat besar ini, tinggal di lahad yang sempit. Tiada menteri menemaninya, tiada kawan yang menyertainya. Dia tidak dikuburkan bersama dengan makanan, juga tiada pembaringan disediakan baginya. Harta dan kuasanya tidak berguna lagi.

SUMBER ---- http://mukmin.com.my/baca.php?id=1566&kategori=6
Ranking: 5
 
© Kisah Teladan Di Zaman Nabi All Rights Reserved