RASULULLAH SAW telah mengarahkan tentera
kaum Muslimin supaya berkumpul, kerana hendak pergi berperang. Mereka
akan menyerang orang kafir Quraisy di Mekah. Lebih kurang 12,000 kaum
Muslimin yang datang dari seluruh pelosok kabilah dan telah memeluk
Islam datang ke Madinah.
Ada seorang lelaki yang bernama Hathib bin Abu Balta’ah telah melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang agama dan negara.
Hathib
menulis surat kepada beberapa orang Musyrikin di Mekah. Dia memberitahu
bahawa Rasulullah akan datang untuk menakluk Mekah dalam masa yang
terdekat itu. Seorang perempuan diarahkan membawa surat itu ke Mekah.
Perempuan itu keluar secara senyap-senyap dari Madinah.
Namun,
tidak lama selepas perempuan itu meninggalkan Madinah, Rasulullah telah
memanggil tiga orang kanan baginda. Mereka ialah Ali, Zubir dan
al-Miqdad.
“Pergilah
kamu ke kebun Khakh. Di sana ada seorang perempuan membawa surat. Ambil
surat itu daripadanya dan bawa surat itu kepadaku,” kata Rasulullah.
Maka
tiga orang sahabat itu pun menunggang kuda menuju ke tempat yang
dinyatakan. Di situ mereka menemui seorang perempuan yang sedang
menunggang seekor unta. Mereka segera menyekat perjalanan unta perempuan
itu.
“Berikan surat itu kepadaku,” kata mereka kepada perempuan itu.
“Saya tidak membawa surat,” nafi perempuan itu pula.
“Rasulullah
pasti tidak akan berbohong. Baik engkau serahkan surat itu cepat
sebelum kami mengapa-apakan engkau,” kata mereka mengugut perempuan itu.
Perempuan
tersebut ketakutan mendengar ancaman itu. Dia pun mengeluarkan sepucuk
surat dari dalam sanggulnya lalu menyerahkan kepada mereka bertiga.
Selepas itu, dia pun dibenarkan pergi.
Surat
itupun dibawa kepada Rasulullah dan baginda memeriksa surat itu.
Rupa-rupanya Hathib yang mengirimkan surat itu. Hathib dipanggil
mengadap Rasulullah.
“Apakah ini, wahai Hathib?” soal Rasulullah sambil menunjukkan surat yang berada di tangannya.
“Janganlah menghukum saya terlalu cepat, wahai Rasulullah. Dengarlah apa penjelasan saya,” kata Hathib ketakutan.
“Saya
ada kawan-kawan daripada golongan kafir Quraisy. Namun saya bukan
daripada golongan mereka. Ada di antara golongan Muhajirin di Madinah
mempunyai kaum kerabat di Mekah yang boleh menjaga harta benda dan
keluarga mereka yang tidak ikut berhijrah.
“Tapi
saya tidak mempunyai kaum kerabat seperti mereka. Saya ingin melakukan
sesuatu kepada kawan-kawan supaya mereka akan menjaga keluarga saya yang
lemah di Mekah. Saya berbuat demikian bukan sebab kufur atau murtad,
tetapi kerana inginkan perlindungan kepada keluarga dan harta benda
saya,” kata Hathib.
“Dia
menyata yang sebenarnya,” kata Rasulullah. Allah telah berfirman:
“Kerjakanlah apa yang kamu kehendaki, Aku telah memberi ampun kepada
kamu”.
Oleh
sebab Hathib turut serta dalam Perang Badar, maka Allah mengampunkan
dosa lelaki itu. Hathib pun mengucap kesyukuran dan berjanji tidak akan
mengulanginya lagi.
SUMBER ------ http://kisahkehidupan.webs.com/