Mayat Berubah Babi Di Zaman Rasulullah s.a.w.

Diriwayatkan bahawa pada suatu hari Rasulullah s.a.w. sedang duduk bersama para sahabat, kemudian datang pemuda Arab masuk ke dalam masjid dengan menangis. Apabila Rasulullah s.a.w. melihat pemuda itu menangis maka baginda pun berkata, "Wahai orang muda kenapa kamu menangis?" 

Maka berkata orang muda itu, "Ya Rasulullah s.a.w., ayah saya telah meninggal dunia dan tidak ada kain kafan dan tidak ada orang yang hendak memandikannya." Lalu Rasulullah s.a.w. memerintahkan Abu Bakar r.a. dan Umar r.a. ikut orang muda itu untuk melihat masalahnya. 

Setelah mengikut orang itu, maka Abu Bakar r.a dan Umar r.a. mendapati ayah orang mudah itu telah bertukar rupa menjadi babi hitam, maka mereka pun kembali dan memberitahu kepada Rasulullah s.a.w., "Ya Rasulullah, kami lihat mayat ayah orang ini bertukar menjadi babi hutan yang hitam."

Kemudian Rasulullah s.a.w. dan para sahabat pun pergi ke rumah orang muda dan Baginda s.a.w. pun berdoa kepada Allah s.w.t., kemudian mayat itu pun bertukar kepada bentuk manusia semula. 


Lalu Rasulullah s.a.w. dan para sahabat menyembahyangkan mayat tersebut. Apabila mayat itu hendak dikebumikan, maka sekali lagi mayat itu berubah menjadi seperti babi hutan yang hitam, maka Rasulullah s.a.w. pun bertanya kepada pemuda itu, 

"Wahai orang muda, apakah yang telah dilakukan oleh ayahmu sewaktu dia di dunia dulu?"

Berkata orang muda itu, "Sebenarnya ayahku ini tidak mahu mengerjakan solat." 


Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda, "Wahai para sahabatku, lihatlah keadaan orang yang meninggalkan sembahyang. Di hari kiamat nanti akan dibangkitkan oleh Allah s.w.t. seperti babi hutan yang hitam." 

Di zaman Abu Bakar r.a ada seorang lelaki yang meninggal dunia dan sewaktu mereka menyembahyanginya tiba-tiba kain kafan itu bergerak. Apabila mereka membuka kain kafan itu mereka melihat ada seekor ular sedang membelit leher mayat tersebut serta memakan daging dan menghisap darah mayat. Lalu mereka cuba membunuh ular itu.

Apabila mereka cuba untuk membunuh ular itu, maka berkata ular tersebut, "Laa ilaaha illallahu Muhammadu Rasulullah, mengapakah kamu semua hendak membunuh aku? Aku tidak berdosa dan aku tidak bersalah. 


Allah s.w.t. yang memerintahkan kepadaku supaya menyeksanya sehingga sampai hari kiamat."
 

Lalu para sahabat bertanya, "Apakah kesalahan yang telah dilakukan oleh mayat ini?"
Berkata ular, "Dia telah melakukan tiga kesalahan, di antaranya :"
 

1. Apabila dia mendengar azan, dia tidak mahu datang untuk sembahyang berjamaah.
2.Dia tidak mahu keluarkan zakat hartanya.
3.Dia tidak mahu mendengar nasihat para ulama.
 



SUMBER ------- http://khairol313.blogspot.com/2012/04/kisah-nabi-muhammad-saw-dan-mayat.html



TANGISAN SEORANG KHALIFAH KETIKA SAKARATUL MAUT.

Tersebutlah sebuah kisah seorang raja bernama Harun Ar-Rasyid yang begitu berkuasa dan banyak harta.

Suatu hari beliau telah pergi berburu dan semasa perjalananya beliau telah bertemu dengan seseorang yang bernama Bahlul.

Maka Harun pun berkata kepada lelaki tersebut,"Berilah aku nasihat, wahai Bahlul." Lalu lelaki itu menjawab, "Wahai Amirul Mukminin, di manakah bapa dan abangmu sejak dari Rasulullah hingga bapamu?"

Harun menjawab, "Semuanya telah mati."

"Dimanakah istana mereka?" Tanya Bahlul."Itu istana mereka," jawab Harun. "Di mana kubur mereka?" "Ini, disini kubur mereka," jawab Harun. Bahlul kemudian berkata "Di situ istana mereka, disini kubur mereka. Bukankah sekarang istana itu sedikit pun tidak memberi manfaat bagi mereka?"

"Kamu benar. Tambahlah nasihatmu, Bahlul," kata Harun. "Wahai Amirul Mukminin, engkau diberi kuasa atas perbendaharaan Kisra dan umur yang panjang. Apa yang dapat kau lakukan? Bukankah kubur adalah perhentian terakhir bagi setiap yang hidup, kemudian engkau akan dihadapkan tentang berbagai masalah?" "Tentu," kata Harun.

Tidak lama kemudian Harun jatuh sakit selepas pulang dari berburu. Kematian menjemput beliau setelah beberapa hari menderita. Dalam detik-detik terakhir kematiannya, dia sempat memanggil pegawainya dan berkata, "Kumpulkan semua bala tenteraku."

Tidak lama kemudian datanglah tentera-tentera mengadap Harun dengan kelengkapan tentera seperti pedang dan perisai. Tentera yang mengadap Harun begitu besar jumlahnya. Semua tentera tersebut adalah di bawah kuasa Harun.

Harun menangis setelah melihat tentera-tentera di hadapannya dan berkata, "Wahai Zat yang tidak pernah kehilangan kuasa, kasihanilah hambaMu yang telah kehilangan kuasa ini."

Harun menangis tidak berhenti sehingga ajal datang menjemputnya. Setelah meninggal, Harun yang memiliki kekuasaan yang sangat besar ini, tinggal di lahad yang sempit. Tiada menteri menemaninya, tiada kawan yang menyertainya. Dia tidak dikuburkan bersama dengan makanan, juga tiada pembaringan disediakan baginya. Harta dan kuasanya tidak berguna lagi.

SUMBER ---- http://mukmin.com.my/baca.php?id=1566&kategori=6
 
© Kisah Teladan Di Zaman Nabi All Rights Reserved