Google Image
Ada kisah menarik di masa Nabi Daud 'alaihissalam. Bani
 Israil ingin berjuang melawan kezaliman raja Jalut. Segala persiapan 
telah dilakukan termasuk ujian pada hati dan jiwa. Sebelum pergi 
berperang, ketua mereka yang bernama Thalut menunjuk sesuatu sebagai 
ujian utama. Sesuatu itu bernama sungai.
"Sesungguhnya Allah akan
 mengujimu dengan sungai. Siapa yang meminum airnya, dia bukan 
pengikutku. Siapa yang tidak meminumnya kecuali menceduk seceduk tangan,
 maka dia pengikutku, "ucap Thalut ke seluruh pasukan. Selepas itu, 
pasukan itu pun bergerak.
Lama mereka berjalan. 
Panas terik keadaan padang pasir Palestin melemahkan tenaga mereka. Haus
 tidak lagi tertahan. Tiba-tiba, sungai yang begitu jernih terbentang di
 hadapan mereka. Seolah memberikan sokongan atas perjuangan yang begitu 
memenatkan.
Ternyata 
tentera-tenteranya teruji dengan kesabaran, kepatuhan kepada ketua dan 
kesanggupan menghadapi kesusahan dalam memikul tugas. Ujian demi ujian 
mereka tempuhi, akhirnya hanya sedikit dari kalangan mereka yang 
berjaya. Kebanyakan daripada mereka telah meminum air sungai dengan 
sepuas-puasnya dan menyerah kalah untuk tidak terus berjuang.
Ujian-ujian ini telah dapat menapis keimanan angkatan tentera Thalut;
“Dan apabila Thalut 
dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya menyeberangi sungai 
itu, mereka pun berkata: Kami tidak mempunyai tenaga kekuatan lagi pada 
hari ini untuk melawan Jalut dan tentera-tenteranya.” QS al-Baqarah:249
Kini Thalut bersama 
dengan tenteranya yang beriman, namun sebahagian daripada mereka mula 
berasa gentar apabila melihat tentera Jalut yang ramai bilangannya. 
Keimanan mereka masih belum sempurna kerana mereka lupa dengan kekuasaan
 Allah swt yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana.
Manakala kumpulan kecil Mukmin yang sejati berkata;
“Lalu berkatalah 
orang-orang yang yakin bahawa mereka akan tetap menemui Allah: Berapa 
banyak peristiwa kumpulan yang sedikit telah mengalahkan kumpulan yang 
banyak dengan keizinan Allah, dan Allah itu bersama-sama orang-orang 
yang sabar.” QS al-Baqarah:249
Kemenangan pasti akan 
dicapai oleh mereka yang berhubung rapat dengan sumber kekuatan yang 
tiada tolok bandingnya lagi iaitu kekuatan dari Allah swt yang menguasai
 segala urusan. Kemenangan diserahkan kepada Allah swt; “Dengan keizinan
 Allah, dan Allah itu bersama-sama orang-orang yang sabar.”
Mereka juga 
memperbaharui janji mereka dengan Allah swt dan bertawajjuh kepada-Nya 
dengan hati mereka. Mereka juga memohon pertolongan dan kemenangan dalam
 menghadapi peperangan ini.
“Dan apabila (mereka 
yang beriman) keluar menentang Jalut dan tenteranya mereka berdoa: Wahai
 Tuhan kami! Curahkanlah kesabaran ke atas kami dan kukuhkanlah 
pendirian kami dan tolonglah kami mengalahkan kaum yang kafir.” QS al-Baqarah:250
Kemenangan adalah milik 
Allah swt. Anugerah ini adalah untuk Mukmin kesayangan-Nya yang 
melaksanakan kehendak-Nya dengan tiada kepentingan diri sendiri. Niat 
yang baik dan keazaman yang kukuh untuk terus taat dan bertawajjuh 
kepada Yang Esa dengan penuh keikhlasan.
Nabi Daud a.s ketika itu
 adalah seorang anak muda Bani Israil yang masih belia, sedangkan Jalut 
adalah seorang raja yang gagah perkasa dan seorang panglima perang yang 
sangat ditakuti. Namun urusan hidup tidak berlangsung mengikut 
keadaan-keadaannya yang lahiriyah tetapi ia berlangsung mengikut 
hakikat-hakikatnya yang berada di tangan Allah swt.
Kematian Jalut kelihatan
 sangat mudah ditangan Nabi Daud a.s. Malah baginda telah menerima 
teraju pemerintahan daripada Thalut. Kemudian mewariskannya kepada 
putera beliau iaitu Nabi Sulaiman a.s. Zaman Nabi Daud a.s adalah zaman 
keemasan bagi Bani Israil.
Di dalam masa yang sama,
 Nabi Daud a.s diangkat sebagai seorang nabi. Allah swt telah 
mengajarkan beliau ilmu pertukangan membuat baju besi dan alat-alat 
perang.
Tujuan sebenar pertarungan ini ialah untuk mewujudkan kebaikan di bumi dan menguatkannya melawan kejahatan dan pencerobohan.
“Dan andainya Allah 
tidak menolak pencerobohan setengah yang lain tentulah bumi menjadi 
rosak, tetapi Allah mempunyai limpah kurnia ke atas semesta alam.” QS al-Baqarah:251
Allah swt mengakhiri kisah ini dengan firman-Nya;
“Itulah ayat-ayat 
Allah yang Kami bacakannya kepadamu dengan membawa kebenaran dan 
sesungguhnya engkau adalah dari nabi-nabi yang diutuskan(Allah).” QS al-Baqarah:252





